Cari Blog Ini

Rabu, Mac 02, 2011

Strategi Pemasaran 4P +3P


Untuk mencapai tahap jualan yang maksimum, strategi pemasaran merupakan faktor penting penentuan tersebut. Namun begitu, sejauh manakah anda mengetahui tentang strategi pemasaran ini??. Melalui pengalaman dan pembelajaran yang saya lalui, nota ini ditulis bertujuan untuk perkongsian ilmu dan diharap info ini berguna untuk anda membuat rujukan dan merangka pelan pemasaran bagi perniagaan anda.

Dalam aktiviti memasarkan produk/perkhidmatan, anda membuat keputusan dan menggunakan berbagai kaedah untuk mendapatkan respon positif daripada pelanggan sasaran. Jerome McCarthy telah mengklasifikasikan kebanyakan kaedah tersebut kepada empat group utama iaitu Product, Price, Place & Promotion  yang merupakan Bauran Pemasaran yang biasa digunakan oleh pemasar/peniaga. Bauran ini juga biasa disebut sebagai strategi pemasaran 4P.    

Untuk mencapai objektif pemasaran melalui strategi 4P, pemasar perlu memanipulasi dengan cara yang paling efektif di antara variables yang terdapat dalam bauran pemasaran tersebut supaya menghasilkan respon yang optima di kalangan pelanggan sasaran. Secara ringkas, antara variables yang dimaksudkan bagi setiap P berkenaan ialah:

  1. Product
- Variety
- Quality
- Design
- Features
- Brand Name
- Packaging
- Sizes
- Service/Support
- Return/Benefir
- Warranties

  1. Price
- List Price
- Discounts
- Allowances
- Payment Period
- Credit Terms

  1. Place
- Channel
- Coverage
- Assortments
- Location
- Inventory
- Logistic
- Service Level

  1. Promotion
- Sale Promotion
- Advertisement
- Personal Selling
- Public Relations
- Message
- Media
- Budget

1.    Product
     Di era pemasaran yang banyak persaingan pada masa ini, keupayaan mengemukakan produk yang lebih kompetitif sangat penting sebagai strategi pemasaran. Melalui penggunaan teknologi dan kepakaran yang tinggi, pengeluar boleh menghasilkan produk yang berkualiti, namun untuk memiliki kelebihan kompetitif dikalangan pesaing, ianya memerlukan berbagai inisiatif tambahan oleh pemasar/peniga..

Asasnya, isu terpenting mengenai produk ialah ianya perlu menetapi keperluan, kemahuan dan harapan pengguna. Di sini, faktor-faktor lain selain kualiti seperti variety untuk pilihan, kesesuaian rekabentuk, kaedah pembungkusan, faedah penggunaan, serta berbagai attribute daripada produk patut diambilkira untuk menarik perhatian pelanggan.    

Di peringkat awalnya, strategi produk menghendaki pemasar menganalisa persekitaran pasaran seperti demand, persaingan dan pertumbuhan serta mengukurnya dengan keupayaan yang ada. Pemasar juga perlu menjangkakan perubahan dan pelbagai situasi luar kawalan dan menyediakan alternatif tindakan yang wajar. Analisa melalui kaedah tertentu (spt.  PEST, SWOT dll.) boleh membantu dalam menyediakan maklumat awalan. Seterusnya, setelah produk diterima di pasaran, pemasar perlu pula mengadakan berbagai insentif untuk menjadikan sebab mengapa pengguna perlu kekal menggunakan produk yang ditawarkan.

2.       Price
    Umumnya, menjadi fahaman bahawa harga melambangkan kualiti produk. Tetapi, dalam realiti pemasaran fakta tersebut tidak semestinya betul untuk dijadikan asas perletakan harga yang strategik.

Strategi penetapan harga menjadi penting di atas kesedaran pemasar bahawa faktor harga berperanan dalam mempengaruhi pengguna untuk membeli dan kekal sebagai pelanggan sesuatu produk. Di masa yang sama penetapan harga mesti berasaskan kepada objektif yang hendak dicapai daripada pemasaran itu sendiri. Samaada memperkenalkan produk baru ke pasaran, memasuki segmen baru pasaran, menstabil harga atau menandingi harga pesaing, jualan penghabisan stok, jualan produk yang spesifik, dsb., strategi harga sepatutnya mempunyai kriteria yang berbeza.

Kepada pemasar, harga merupakan kaedah meghasilkan pendapatan dan mencipta keuntungan. Kepada pembeli pula ianya melibatkan aspek seperti kemampuan membeli, berpatutan dan berfaedah. Insentif lain seperti diskaun, jumlah ansuran dan tempuh bayaran dapat mempengaruhi minat pengguna untuk membeli produk

3.       Place
     Strategi penempatan memberi penekanan kepada aspek saluran pengedaran produk yang berfungsi menyampaikan produk kepada pengguna sasaran. Ianya melibatkan aktiviti perkhidmatan seperti transaksi, inventori, lojistik dan kelengkapan fasiliti. Disamping itu, strategi ini juga perlu mengambilkira faktor liputan pengedaran dan kebolehan kakitangan serta tahap perkhidmatan mereka.

Menawarkan produk yang betul, di tempat/lokasi yang betul dan pada masa yang betul, adalah tujuan kepada strategi ini. Kesemua ini sangat bergantung kepada keberkesanan saluran-saluran  pengedaran yang ditetapkan. Bagaimana produk ditempatkan di kalangan pengguna, begitu jugalah penerimaan mereka.  

4.       Promotion
      Terdapat juga anggapan bahawa produk yang berkualiti akan terjual dengan sendirinya. Tetapi, dalam strategi mempromosi, pemasar melaksanakan aktiviti memperkenalkan produk yang hendak ditawarkan kepada pengguna. Dalam usaha tersebut berbagai kaedah promosi perlu dilaksanakan agar pengguna mengetahui, memahami dan seterusnya membuat keputusan untuk menggunakan produk.  Tanpa aktiviti promosi, pemasaran produk yang berkualiti sekalipun tidak menjadi aktif dan industri sukar memperoleh tahap kompetitif yang dikehendaki di pasaran.   

Untuk menarik pengguna membeli produk bukannya tugas yang mudah. Mereka perlu dipengaruhi, bukan setakat di perkenal sahaja. Mereka perlu diberi kesedaran hingga mereka merasa perlu untuk membeli produk yang ditawarkan.

Pengiklanan melalui media massa utama, antara kaedah mempromosi yang termahal, menjadi pilihan industri yang berkemampuan. Walaupun tahap keberkesanannya agak sukar diukur, tetapi yang lebih penting di sini adalah faktor penyebaran maklumat produk yang meluas. Di samping pengiklanan, kaedah promosi yang lain-lain boleh digunakan, samaada serentak mahupun berasingan, bersesuaian dengan objektif pemasaran serta faktor-faktor seperti kos, peluang dan kebolehan berinteraksi yang lebih terbuka dengan pelanggan.  .


Sementara itu, sebagai tambahan kepada 4P di atas, Booms & Bitner telah menambah 3P lagi kepada bauran sediaada iaitu People, Process dan Physical Evidence.  Penerangan ringkas kepada 3P tambahan ini adalah seperti berikut:

  1. People: Faktor manusia (yang terlibat secara langsung & tidak langsung) dalam aktiviti penyampaian produk di pasaran tidak patut dikecualikan. Peranan kakitangan yang menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pemasaran perlu dijadikan sebagai strategi. Oleh itu inisiatif dari aspek kebolehan, kemampuan dan kepakaran para pekerja dan pihak pengurusan di industri perlu juga di beri perhatian dalam strategi meningkatkan keupayaan pemasaran.

  1. Process: Proses / aliran kerja termasuk arahan dan prosedur yang bertepatan bagi setiap aktiviti merupakan elemen yang akan menentukan keberkesanan dan kejayaan pemasaran. Oleh itu, ianya juga adalah inisiatif yang strategik sesebuah industri untuk memasukkan unsur ‘process’ ini kedalam strategi pemasarannya.

  1. Physical Evidence: Kebolehan dan keupayaan industri dalam penyampaian perkhidmatan mestilah dipadankan bersesuaian dengan persekitaran pasaran di mana perkhidmatan diberikan. Ini akan meningkatkan lagi keberkesanan dalam berkomunikasi dan melaksanakan penyampaian produk, khasnya dalam aspek kepuasan kepada pengguna sasaran.


STRATEGI pemasaran 4P boleh dikatakan sebagai tindakan empat serangkai oleh pemasar/peniaga  untuk menawarkan produk/perkhidmatan kepada pelanggan sasaran dengan cara yang lebih efektif. Sementara tambahan 3P lagi kepada bauran tersebut adalah sebagai pelengkap yang khususnya disarankan bagi industri yang menawarkan produk jenis perkhidmatan/servis.  

Selasa, Mac 01, 2011

Panduan Penyediaan Rancangan Perniagaan


Untuk memulakan sesuatu perniagaan, Rancangan Perniagaan merupakan suatu kewajipan untuk anda mengenal pasti kedudukan kewangan dan pasaran perniagaan anda. Disini saya kongsikan dengan anda tentang Definasi dan Aspek Penting Dalam Penyediaan Rancangan Perniagaan. Semoga ianya amat bermanfaat kepada kita semua......

Apakah Pelan Perniagaan?
Ia adalah rencana bertulis yang memaparkan wawasan anda dan bagaimana perniagaan anda akan diuruskan untuk menepati objektifnya.
Aspek Penting Dalam Rancangan Perniagaan
  1. Model perniagaan, produk, perkhidmatan, wawasan dan matlamat perniagaan.
  2. Kedudukan syarikat masa kini, dalam konteks kewangan, pasaran dan pesaing.
  3. Faktor - faktor kritikal untuk kejayaan perniagaan.
  4. Keperluan pembiayaan.
  5. Tujuan spesifik pinjaman dan bagaimana pinjaman boleh membantu perniagaan.
Untuk memastikan kesempurnaan pelan perniagaan tertsebut, anda perlulah menambahkan beberapa maklumat asas seperti berikut ;
  1.  Pengenalan kepada perniagaan anda
  2. Carta organisasi dan struktur organisasi
  3. Analisis industri pesaing
  4. Keperluan operasi
  5. Strategik jualan dan pemasaran
  6. Unjuran kewangan

PERSEDIAAN UNTUK MELANGKAH KE DUNIA PERNIAGAAN


Ramai dikalangan rakyat Malaysia kini berminat untuk menceburi dunia perniagaan, umum mengetahui yang dengan berniaga anda mampu untuk mendapatkan apa sahaja yang anda ingini. Hal ini adalah disebabkan dengan menceburi dalam bidang perniagaan, seseorang itu mampu mencapai pendapatan tinggi yang mencecah puluhan ribu ringgit. Namun yang harus diingat, sejauh manakah tahap persediaan anda untuk menceburkan diri dalam Dunia Perniagaan ini??
Dalam ruangan ini, saya ingin mengupas beberapa isu berkenaan perkara tersebut yang sedikit sebanyak merupakan pengalaman saya semasa mula melangkah ke Dunia Perniagaan. Antara isu utama yang perlu dititikberatkan adalah seperti berikut :-

1.       Lokasi Perniagaan

Lokasi pasaran merupakan faktor penentuan untuk anda memulakan perniagaan, terdapat pelbagai cara untuk menentukan pemilihan lokasi, berdasarkan jenis perniagaan yang akan anda jalankan. Apa yang anda perlu tekankan semasa pemilihan lokasi perniagaan ini adalah berkenaan dengan kadar sewa premis. Sebagai contoh, di Kuala Lumpur kebanyakan kadar sewa premis adalah dari lingkungan RM 3500 hingga RM 8000 bergantung pada jenis premis dan lokasi. Akan tetapi anda harus berwaspada apabila berurusan dengan ejen hartanah semasa proses sewa beli premis, ingin saya nasihatkan agar anda berurusan sendiri dengan pemilik premis bagi mengelakkan anda tertipu.

2.       Kewangan

Faktor kewangan adalah faktor utama dalam sesebuah perniagaan, untuk memulakan perniagaan anda harus menyenaraikan kewangan semasa anda. Senarai wajib yang anda patut ada adalah merangkumi perbelanjaan untuk sewa premis, kos operasi, barangan keperluan premis, kos gaji pekerja dan kos utility. Faktor kewangan boleh dikatakan “the killer factor” yang mana kebanyakan usahawan bumiputra terperangkap dalam situasi dimana kekurangan kewangan untuk membuat modal pusingan. Saya akan terangkan sedikit sebanyak bagaimana cara untuk mendapatkan modal pusingan untuk perniagaan anda. Kerajaan Malaysia melalui institusi kewangan seperti SME Bank, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar dan Mara telah giat menjalankan program usahawan bumiputera. Melalui skim ini, anda akan diberikan suntikan modal daripada institusi berkenaan jika sekiranya anda layak. Untuk melayakkan anda mendapat dana tersebut, anda mestilah menghadiri kursus-kursus keusahawanan anjuran pihak berkenaan dan yang paling penting anda mesti mempunyai Kertas Rancangan Perniagaan yang bakal anda jalankan.
 
3.       Jenis Perniagaan

Pemilihan jenis perniagaan adalah berdasarkan kepada kemahiran, minat dan pengetahuan anda terhadap selok belok perniagaan terbabit. Cuba kenali potensi diri anda dengan jenis perniagaan yang akan anda jalankan. Sebelum anda memulakan perniagaan tersebut, seharusnya anda menghadiri seminar ataupun kursus yang berkaitan dengan perniagaan terbabit. Ini bagi mengelakkan anda terjerumus kedalam risiko kebuntuan mengoperasikan sesebuah perniagaan. Jenis perniagaan juga berhubung kait dengan pemilihan lokasi perniagaan.

4.       Pasaran Semasa

Untuk menentukan jenis perniagaan yang bakal anda jalankan, anda semestinya melakukan penilaian terhadap pasaran semasa. Untuk menentukan pasaran semasa, anda boleh membuat tinjuan terhadap minat dan kecenderungan orang ramai terhadap sesuatu produk ataupun perkhidmatan. Melalui pasaran semasa ini, anda hendaklah bersikap lebih positif dan berfikir secara kreatif bagi menarik minat orang ramai.

5.       Keperluan Pasaran

Anda seharusnya mengetahui dengan lebih jelas berkenaan dengan keperluan pasaran bagi jenis perniagaan yang akan anda jalankan. Persoalan yang anda boleh bangkitkan adalah seperti adakah perniagaan ini akan bertahan selama 10 ataupun 20 tahun akan datang dan bagaimanakah cara untuk mengatasi permasalahan tersebut. Dengan lebih jelas, anda hendaklah menetapkan misi dan visi perniagaan anda untuk jangka masa lebih dari 10 tahun. Berpandukan dari itu, anda sudah boleh menetapkan apakah jenis perniagaan, pasaran semasa dan keperluan pasaran.

6.       Lesen/Perundangan

Lessen adalah merupakan keperluan yang paling asas dengan perniagaan, anda diwajikan mendaftarkan perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan berpandukan bentuk perniagaan anda samada milikan tunggal ataupun perkongsian. Setelah lokasi perniagaan dipilih, anda dikehendaki mendaftarkan premis/papan iklan  perniagaan anda dengan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL dan MPAJ. Kos pendaftaran premis/papan iklan ini adalah berdasarkan jenis perniagaan yang anda jalankan. Perlu diingat, ramai usahawan yang tidak mendaftarkan premis perniagaan yang mereka jalankan dan mengakibatkan premis mereka disita ataupun disaman oleh pihak berkuasa tempatan. Jika hal ini berlaku, ianya akan memberikan impak yang besar terhadap perniagaan anda.
 
7.       Persaingan

Dari segi persaingan, apa yang anda perlu lakukan adalah berfikir dengan positif. Persaingan merupakan suatu element yang penting dimana para usahawan akan sedaya upaya berusaha untuk menarik pelanggan. Jesteru, apabila adanya persaingan dalam perniagaan, seharusnya biarlah persaingan tersebut adalah persaingan yang sihat. Dalam konteks persaingan, anda boleh menetapkan beberapa strategic pemasaran yang mana ianya akan berfungsi sebagai senjata anda untuk menghadapi pesaing.